MasterChef Malaysia – Astro Tampilkan Barisan Chef Profesional Sebagai Juri

Pelbagai ilmu dan teknik masakan sedia dikongsi kepada penonton Astro Ria dan STAR World!

 

Astro ternyata terus mengotakan janjinya dalam memberikan pengalaman menonton yang berbeza dengan membawakan sebuah program realiti masakan popular berjudul MasterChef Malaysia. Terbaru, Astro mengumumkan barisan juri yang akan mengemudi program ini dan senarai 40 peserta yang berjaya menempatkan diri dalam MasterChef Malaysia. Rancangan yang sudah lama dinantikan oleh penonton di Malaysia ini bakal bersiaran bermula 22 Oktober ini di Astro Ria (saluran 104) dan MasterClass (Kuliah Master) di STAR World (saluran 711) bermula 27 Oktober 2011.

Lima orang juri yang diumumkan bukan sahaja akan menilai keupayaan dan perkembangan para peserta, malah akan bertindak mengemudi rancangan ini. Mereka adalah Mohd Nadzri Redzuawan, 29 (Chef Riz), Moh Johari Edrus, 55 (Chef Jo), Zubir Bin Md.Zain, 45 (Chef Zubir), Yahaya bin Hassan, 49 (Chef Yahaya) dan Priya Menon.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh berkata, ”Sebagai sebuah saluran hiburan Melayu unggul yang menawarkan hanya program-program menarik, Astro Ria amat berbangga kerana bakal menayangkan sebuah program yang lama dinantikan oleh rakyat Malaysia ini. Kehadiran barisan juri yang disegani serta mempunyai latar belakang dan pengalaman yang luas dalam bidang masakan ini pastinya akan memberikan impak yang terbaik kepada program ini dan para peserta seharusnya mengambil peluang ini untuk mencedok segala ilmu dan teknik yang dikongsi mereka.

Sementara itu, 40 orang peserta yang terpilih rata-rata mempunyai kualiti yang baik dan berpotensi untuk pergi jauh. Mereka datang daripada pelbagai latarbelakang seperti pelakon, doktor pergigian, pereka fesyen, penoreh getah dan pelajar universiti. Sewaktu di Bootcamp, kesemua peserta terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran sebelum 24 peserta terbaik berjaya meneruskan perjalanan mereka dalam MasterChef Malaysia. Pada penghujung rancangan ini, hanya seorang akan dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia.

Pada majlis ini juga turut diumumkan koloborasi Astro Ria dan Fox International Channels dalam menyiarkan MasterChef Malaysia. Sebagai salah sebuah saluran hiburan utama di Astro, STAR World telah menyiarkan MasterChef dan MasterClass selama dua tahun berturut-turut. Justeru itu, Fox International Channels dan STAR World amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Astro Ria buat pertama kalinya dengan menerbitkan rancangan ini dalam versi Malaysia untuk mengukuhkan jenama MasterChef dan berusaha menarik minat para penonton di negara ini dengan menyuntik pelbagai elemen tempatan

STAR World akan menyiarkan Kuliah Master (MasterClass) yang akan menampilkan ramai selebriti dan para selebriti chef manakala program-program yang lain akan diudarakan di Astro Ria. Sebanyak enam program akan ditayangkan selama seminggu iaitu Peti Saji Misteri & Ujian Cipta Rasa (Sabtu), Ujian Sajian Pantas dan Penyingkiran (Ahad), Cabaran Chef Selebriti (Isnin), Cabaran Sajian Luar (Selasa), Penyingkiran (Rabu) dan Kuliah Master (Jumaat).

Khairul berkata, “Penggabungan ini merupakan suatu bentuk kerjasama yang terbaik bagi mempromosikan program ini kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Secara tidak langsung, MasterChef Malaysia akan menonjolkan pelbagai keunikan budaya masyarakat di negara ini. Setelah sekian lama kita hanya menonton kehebatan peserta dari negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia di televisyen, kini sudah tiba masanya kita menonjolkan bakat anak-anak tempatan dalam MasterChef Malaysia.

Rancangan ini bermula pada tahun 2009 di Australia dan mengukir sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah penonton tertinggi di sana untuk rancangan bukan sukan iaitu seramai 4 juta penonton pada peringkat akhir tahun 2010. Fenomena hebat ini diteruskan oleh MasterChef UK yang turut menayangkan rancangan ini di 145 negara. Turut menjadi perhatian adalah MasterChef US dan MasterChef France yang semakin popular dikalangan jutaan penonton diseluruh dunia.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih sekaligus mengalu-alukan kehadiran PANASONIC ‘Cooking Magic’ selaku penaja utama MasterChef Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan juga kami rakamkan kepada penaja bersama iaitu Hong Leong Bank, Jaya Grocer, Maggi, MyChef dan NeuVida Omega-9 Cooking Oil. Sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap rancangan ini menaikkan lagi semangat kami untuk untuk menayangkan MasterChef Malaysia”, tambah Khairul lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan MasterChef Malaysia dengan episod Peti Saji Misteri dan Ujian Cipta Rasa di Astro Ria (saluran 104) bermula 22 Oktober 2011 dan Kuliah Master di Star World (saluran 711) bermula 27 Oktober 2011 manakala Kuliah Master di Astro Ria (saluran 104) akan bermula minggu berikutnya pada 4 November 2011. Selamat menonton!

About Mohd Zaid

Seorang penulis blog yang masih belajar bagaimana untuk menulis blog dengan baik. Saya amat meminati muzik dan gemar bersosial secara berhemah dengan rakan-rakan. Sekiranya anda ingin saya membuat review produk, makanan atau menghadiri sebarang event, sila hantarkan jemputan anda ke email : admin[at]mohdzaid.com atau yedkajang[at]gmail.com
This entry was posted in Promo and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *