‘PENERANG HATI’ 6IXTH SENSE – SAUJANA

Menarik dunia industri musik tanahair sekarang ni diceriakan lagi dengan lagu-lagu bercorak keimanan dan ketakwaan di bulan Ramadhan. Terbaharu seperti yang kita dengar dicorong-corong radio sekarang tengah hangat dengan lagu Penerang Hati yang didendangkan oleh kumpulan nasyid Saujana dan 6ixth Sense. Jom kita baca artikel yang ditulis oleh Juan Danza tentang perjalanan lagu Penerang Hati ini dan kita saksikan juga video promo lagu ni ye.. :)

http://www.youtube.com/watch?v=l_-vbT_J6CE

oleh Juan Danza

BAGAI menjadi arah aliran terkini, gabungan idea dan kepakaran penggiat seni muzik Malaysia ternyata mewarnakan lagi industri muzik tanah air sekali gus memberi variasi kepada pendengar yang dahagakan produk baru dari masa ke masa. Menampilkan nama besar dalam pembikinan sesebuah lagu juga turut membantu dalam memperomosikan sesuatu lagu, malah penampilan semula artis yang mungkin selama ini sedikit tenggelam dengan kemunculan muka baru dan sudah lama tidak muncul dengan warkah baru menambahkan lagi kerancakan.

Pastinya, apa saja penggabungan yang dilakukan sama ada dari segi nyanyian secara duet mahu pun sentuhan pemuzik yang mempunyai kelainan tersendiri jarang sekali tidak diterima baik, malah keunikan itulah yang menjadi pemangkin sesuatu produk. Terbaru, kumpulan yang semakin menjadi pujaan ramai, 6ixth Sense, kembali dengan single terbaru mereka menampilkan kumpulan nasyid Saujana sempena Ramadan yang disambut dengan gembira khususnya masyarakat Islam di Malaysia.

Lagu baru berjudul Penerang Hati ciptaan Faiz Azizi Arlis atau Gjie, pemain gitar kumpulan itu kini menemui peminat yang menantikan sentuhan baru mereka yang semakin popular selepas muncul dengan album mereka, +-x/, yang menampilkan lagu hebat seperti Khatimah Cinta, Menyesal, Yang Sempurnakanku dan Cinta Mati.

Apa yang menarik, gabungan pelontar Pop Rock dan irama Nasyid kali ini ternyata berbeza dengan beberapa usahasama sebelum ini, sebagai contoh lagu Cinta Yang Sempurna yang menampilkan lontaran mantap Adi selaku vokalis 6ixth Sense dan penyanyi kumpulan Letto iaitu Noe sememangnya hadir dalam genre yang sama.

Saujana yang ternyata jauh lebih senior daripada 6ixth Sense dalam dunia seni kini menunjukkan keterbukaan mereka dalam perjuangan menegakkan syiar Islam menerusi lagu berunsur nasihat dan panduan berguna, malah penyertaan mereka dalam projek kali ini diharapkan dapat memudahkan kaedah dakwah yang sememangnya menjadi nadi mereka yang pernah popular dengan lagu seperti Keluarga Bahagia, Sepohon Kayu dan Suci Sekeping Hati.

Masih tidak hilang sentuhan suara mereka, diam tak diam Saujana yang muncul dengan album pertama mereka pada tahun 1997 ini semakin matangselepas tampil dengan tujuh album, termasuk yang terbaru diterbitkan pada Januari 2010. Bagaimana pun, mereka yang bukan pengikut setia irama nasyid kurang menyedari kehadiran Saujana, dan diharapkan dengan usahasama yang dijalinkan bersama 6ixth Sense kali ini membuahkan hasil dan memberi makna tersendiri kepada kedua-dua kumpulan apatah lagi mengambil keberkatan Ramadan kali ini. Menyentuh soal lagu yang bakal terkandung dalam album dakwah 6ixth Sense yang masih belum diberikan judul serta album kompilasi Nasyid terbitan Universal Music Malaysia ini, gabungan tenaga kerja profesional ternyata mengagumkan.

Dirakam di tiga studio berbeza iaitu Hijjaz Studio, King’s Studio dan Studio 18, susunan muzik yang direncana 6ixth Sense sendiri pastinya mengekalkan kunikan tersendiri kumpulan itu, dimantapkan lagi dengan bunyian ‘strings’ oleh Dimawan Krisnowo Adji Sa’unine Strings. Malah, penglibatan penerbit lagu ini iaitu Mujahid Abdul Wahab yang berpengalaman menerbitkan album kedua-dua kumpulan ini pastinya diyakini, apatah lagi beliaulah yang membentuk kedua-dua kumpulan ini sejak mula menempatkan diri di arena seni suara. Diharapkan buah tangan kali ini dapat memberi manfaat kepada pendengar, sekali gus memberi peluang kepada pendengar untuk menikmati gabungan hebat ini.

About Mohd Zaid

Seorang penulis blog yang masih belajar bagaimana untuk menulis blog dengan baik. Saya amat meminati muzik dan gemar bersosial secara berhemah dengan rakan-rakan. Sekiranya anda ingin saya membuat review produk, makanan atau menghadiri sebarang event, sila hantarkan jemputan anda ke email : admin[at]mohdzaid.com atau yedkajang[at]gmail.com
This entry was posted in Review Album (Malaysia) and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.