12 finalis sedia berentap di Gelanggang Raja Lawak Astro Musim Kelima

12 finalis yang sudah bersedia untuk berentap di Gelanggang Raja Lawak Astro sekaligus menjadi pelapis bagi memeriahkan lagi industri hiburan tanahair terutamanya dalam bidang lawak dan jenaka yang semakin rancak membangun telahpun diumumkan di majlis sidang akhbar yang diadakan semalam.

Masih mengekalkan konsep dan format yang sama seperti empat musim sebelum ini, program Raja Lawak; sebuah program realiti pencarian bakat untuk menjadi pelapis dalam bidang komedi di kalangan rakyat Malaysia kini kembali menggamatkan kaca televisyen untuk musim kelima dan bakal bersiaran pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 7 Januari 2010 di Astro Prima (saluran 105).

12 finalis terbaik telah dikenal pasti menerusi sesi ujibakat yang teliti terdiri daripada lapan peserta berkumpulan iaitu; Kumpulan PUKAW, Kumpulan R2, Kumpulan BOBO, Kumpulan KOPIO, Kumpulan BALAS, Kumpulan KAMI, Kumpulan LUCKY, Kumpulan TBO serta empat peserta solo iaitu; NAZMI, MAN, EPY dan LEMAN.

Lebih bersedia! Itulah yang dapat dirumuskan daripada barisan peserta yang terpilih kali ini. Setelah empat musim bersiaran, pastinya menjadi kelebihan kepada mereka yang rata-rata sudah faham dengan selok belok dan kehendak program realiti pencarian pelawak nombor satu di Malaysia ini. Kejayaan beberapa nama besar kelahiran Raja Lawak musim terdahulu seperti Johan, Zizan, Nabil, Kumpulan Sepah, Along dan Azrul turut menjadi pendorong kepada mereka untuk menjadikan bidang lawak sebagai kerjaya yang serius.

Setiap daripada mereka yang terpilih masing-masing mempunyai kekuatan dan personaliti unik yang berbeza yang kami lihat mampu memberikan warna dan membekaskan impak dalam industri ini kelak. Kami percaya mereka juga sudah tidak sabar lagi untuk menyalurkan kekuatan dan kreativiti masing-masing menerusi persembahan lawak yang mengandungi mesej-mesej tersirat memberi pengajaran.

Seperti musim-musim sudah, kesemua peserta akan ditempatkan di sebuah lokasi dan bakal menerima latihan serta bimbingan profesional oleh barisan pengkritik tetap pada setiap minggu secara bergilir-gilir sebagai persediaan sebelum membuat persembahan mingguan secara langsung.

Tiga orang pengkritik tetap akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Mereka bakal menilai para peserta berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan; keaslian persembahan dan kreativiti; bakat dan kemahiran lakonan serta sama ada para peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak.

Pengumuman senarai baru barisan pengkritik tetap sewaktu minggu pertama Gelanggang Raja Lawak Astro pada 7 Januari ini. Sama ada akan mengekalkan barisan juri yang sedia ada dan mencari seorang pengganti bagi kerusi Allahyarham Din Beramboi, atapun membuat rombakan secara keseluruhan, semuanya akan terjawab kelak

Walau bagaimanapun, nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan tersingkir. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa di saluran Astro Prima.

Sebagai pembuka tirai, para penonton bakal menyaksikan sedutan-sedutan dari sesi ujibakat melalui program Al Kisah Raja Lawak Astro sebanyak dua episod pada 30 & 31 Disember 2010 (Khamis & Jumaat), jam 9.00 malam. Setiap gelagat, aktiviti mahupun rutin harian para peserta akan dipaparkan selama lima minat setiap siaran menerusi program Kapsul Raja Lawak Astro pada setiap Isnin hingga Khamis pada jam 9.00 malam bermula 3 Januari 2011. Manakala persembahan para peserta pada setiap minggu boleh ditonton menerusi  program Gelanggang Raja Lawak Astro yang bakal bersiaran secara langsung pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 7 Januari 2010 dari studio Finas, Hulu Kelang.

Program Raja Lawak Musim Kelima sekali lagi bakal menyaksikan gandingan mantap Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali sebagai Johan dan Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara di Gelanggang Raja Lawak Astro pada setiap minggu.

Pihak Astro juga amat berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Radio Sinar FM sebagai radio rasmi Raja Lawak Astro dan turut disokong oleh Radio Era FM serta Murai.com.my selaku portal hiburan rasmi untuk musim ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.rajalawak.com.my atau dengan menekan butang merah ”R” yang terdapat di alat kawalan jauh Astro.

Siapakah di antara peserta musim ini yang paling menyerlah dan bakal mengukir nama dalam bidang lawak mengikut jejak langkah senior-senior mereka? Adakah peserta berkumpulan masih menjadi pilihan atau peserta solo pula yang berjaya menambat hati penonton? Adakah musim ini bakal menobatkan peserta perempuan sebagai juara buat pertama kali dan mengalahkan peserta lelaki yang lain? Sama-sama kita saksikan

Sumber : http://www.facebook.com/Astro

About Mohd Zaid

Seorang penulis blog yang masih belajar bagaimana untuk menulis blog dengan baik. Saya amat meminati muzik dan gemar bersosial secara berhemah dengan rakan-rakan. Sekiranya anda ingin saya membuat review produk, makanan atau menghadiri sebarang event, sila hantarkan jemputan anda ke email : admin[at]mohdzaid.com atau yedkajang[at]gmail.com
This entry was posted in Uncategorized and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *