Pasport Antarabangsa Alternatif RM100 Diperkenal Oktober

Yahoo harga passport diturunkan pada RM100 untuk 32helaian pada bulan Oktober ni. Tapi tempoh sah laku pasport ini hanya untuk 2 tahun je… tapi kira okeh la kan dah murah.. so tahun depan boleh la gua melancong luar negara pulak hehehe… Tahun depan dah berkira-kira nak jalan-jalan Perth, LA atau NY .. tengok lah kalau ada duit lebih boleh la pergi…

BUKIT KAYU HITAM, 12 Sept (Bernama) — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkenalkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Alternatif mulai 1 Oktober depan dengan kos RM100 bagi 32 muka surat untuk tempoh sah laku dua tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika mengumumkan demikian hari ini berkata, PMA Alternatif berkonsepkan kos lebih rendah dan mampu milik itu adalah untuk tujuan khusus (one-off) atau kadar penggunaan yang tidak kerap.

Beliau berkata pasport itu akan menjadi salah satu pilihan tambahan kepada kategori pasport sedia ada, iaitu dengan kos pemilikan RM300 untuk 32 muka surat dan RM600 untuk 64 muka surat, kedua-duanya untuk tempoh sah laku lima tahun.

Beliau berkata kementeriannya mendapat maklum balas rakyat bahawa kadar sebelum ini dirasakan agak tinggi kerana terdapat banyak kes dalam mana warga negara hanya memerlukan pasport untuk sekali kegunaan seperti menghantar anak melanjutkan pelajaran ke luar negara, mengerjakan ibadat umrah, atau lawatan sambil belajar ke luar negara.

“Kewujudan konsep penerbangan tambang murah dan pakej pelancongan murah juga membolehkan ramai yang memilih untuk bercuti ke luar negara dan kos RM300 untuk memiliki PMA akan membebankan mereka kerana mereka memerlukannya untuk kegunaan sekali sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Lawatan Kerja dan Majlis Berbuka Puasa di ICQ Bukit Kayu Hitam, di sini.

Hishamuddin berkata, penggunaan kategori Pasport Berkumpulan pula bukanlah alternatif terbaik kerana kadangkala boleh menimbulkan kesulitan tertentu dan tidak boleh digunakan dalam semua keadaan.

Katanya, keputusan memperkenalkan inisiatif baru itu juga adalah lanjutan kepada keistimewaan PMA Alternatif yang telah ditawarkan kepada para jemaah haji untuk memenuhi peraturan baru Kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan semua jemaah menggunakan pasport antarabangsa.

Keistimewaan pengeluaran PMA alternatif lebih murah dengan tempoh sah laku singkat yang diberikan kepada para jemaah haji ini diperluaskan kepada semua rakyat negara ini, katanya.

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada strategi dan pendekatan yang diambil oleh KDN dalam melaksanakan Konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” kata Hishamuddin.

– BERNAMA

About Mohd Zaid

Seorang penulis blog yang masih belajar bagaimana untuk menulis blog dengan baik. Saya amat meminati muzik dan gemar bersosial secara berhemah dengan rakan-rakan. Sekiranya anda ingin saya membuat review produk, makanan atau menghadiri sebarang event, sila hantarkan jemputan anda ke email : admin[at]mohdzaid.com atau yedkajang[at]gmail.com
This entry was posted in Macam-Macam and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.