Lagi Cerita – Pesta Malam Indonesia 2

SEDIKIT kekecohan berlaku dikalangan dua kelompok warga Indonesia ketika sedang seronok penonton menghayati persembahan band Indonesia, Sheila On 7 ketika di konsert Pesta Malam Indonesia 2 di Padang Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun kekecohan tersebut mula reda apabila vokalis SO7, Duta pandai menasihatkan mereka yang bertelagah.

Kata Duta yang sebelum itu menyampaikan lagu Sahabat Sejati, “Kita datang jauh dari Jogjakarta tidak mahu tengok gaduh-gaduh ni. Inikan lagu Sahabat Sejati. Sahabat perlu duduk baik-baik.”


Duta SO7 pandai mengambil hati penonton dengan menasihatkan mereka agar berhenti bergaduh ketika persembahan sedang berjalan.
(Foto The Star oleh Raymond Ooi)

Disangkakan pergaduhan tidak berlaku lagi tetapi tafsiran itu ternyata silap. Konsert tersebut dicemari oleh kekecohan lagi sekaligus mencacatkan kemeriahan konsert tersebut buat kali keduanya selepas kekecohan dua tahun lalu berulang lagi kali ini.

Tidak sampai beberapa minit, pergaduhan berlaku lagi. Kali ini lebih teruk sehingga akhirnya salah sebuah kumpulan tersebut keluar daripada kumpulan orang ramai yang berkumpul di hadapan pentas.

Kelihatan, salah seorang daripada mereka yang berambut ‘punk’ luka di dahi akibat pergaduhan tersebut.


Penonton yang hadir saling berebut untuk melihat band kesayangan mereka beraksi di depan mata.

Namun, penonton kembali ditenangkan oleh pemain gitar utama band itu iaitu Eros. Selepas persembahan SO7 berakhir, konsert tersebut direhatkan selama 40 minit untuk memberi penghormatan kepada waktu Maghrib.

Penonton kembali tak senang duduk apabila masalah teknikal berlaku kerana mereka terpaksa menunggu sehingga 25 minit.

Dalam pukul 8.10 malam, sedang seronok melayan aksi vokalis Ungu, Pasha dan rakan-rakannya di pentas, persembahan tergendala sebentar disebabkan masalah teknikal.


Persembahan Ungu tergendala selama 25 minit gara-gara masalah teknikal.
(Foto mStar oleh Siti Azira Abd. Aziz)

Sehingga 10 minit berlalu, konsert masih tetap tidak dimulakan lagi. Pihak penganjur pandai mengambil hati penonton yang mungkin bengang dengan situasi tersebut, penganjur membaling baju T ‘I-Talk’ kepada penonton sebagai hadiah. Tidak cukup dengan baju, mereka turut membaling kipas kertas ‘TM’ dan poster.

Namun, lain pula jadinya apabila penonton membaling semula kipas kertas tersebut ke pentas. Selepas 20 minit berlalu, kekecohan kembali berlaku.


Penonton bengang dengan situasi tergendala itu dan membaling kipas kertas ‘TM’ ke pentas.
(Foto Siti Azira)

Kali ini antara penganjur dan penonton bilamana penonton membaling kertas yang direnyukkan sebesar bola tenis lalu membaling ke pentas. Keadaan menjadi riuh-rendah juga apabila kertas yang dibaling terkena kepala petugas media berdekatan pentas termasuk pengacara Leya.

Yang semakin menimbulkan kemarahan penonton apabila Leya kembali melontarkan kertas yang dibaling tadi ke arah mereka semula.

Ungu menyambung persembahan yang tergendala tadi selepas sistem audio kembali baik kira-kira 5 minit kemudian.

Persembahan daripada Peter Pan juga dikatakan mengundang kejutan apabila vokalisnya, Ariel telah melakukan aksi yang pernah dibuat oleh penyanyi Malaysia Faizal Tahir sebelum ini dengan membuka bajunya ketika membuat persembahan.

Pesta Malam Indonesia tercipta untuk warga Indonesia

Lebih 1,000 orang penonton yang membanjiri Padang Equestrian Bukit Kiara adalah warga Indonesia ketika menonton konsert Pesta Malam Indonesia 2 pada Sabtu lalu.

Bayangkan, penganjur telah berjaya mengumpul peminat band-band Indonesia iaitu Peter Pan, Slank, Ungu, Sheila On 7, Samsons dan Dewi-Dewi ini yang kebanyakannya berwarganegara Indonesia.

Peminat-peminat tersebut antaranya menggelarkan diri mereka sebagai Sahabat Peter Pan, Slankers, Sheila Gang dan Samsonians.

Seawal pukul 10 pagi, pesta tersebut mula dibuka kepada pengunjung pesta itu dengan caj tiket masuk sebanyak RM50 setiap seorang.

Sehingga pukul 2 petang, barulah konsert bermula selepas pengunjung puas melawat gerai-gerai yang terdapat di tapak pesta itu.

Antara  gerai yang terdapat di situ adalah gerai Tune, I-talk TM, termasuk gerai menjual makanan dan minuman.

Konsert yang dihoskan oleh penyampai Hot FM iaitu Leya dan AG itu dimulakan dengan persembahan band popular Malaysia iaitu Meet Uncle Hussein dan Hujan.

Kedatangan Hujan dan Meet Uncle Hussein turut tidak menghampakan penonton.
(Foto The Star)

Selepas sejam berlalu, konsert bertukar tangan kepada penyanyi Indonesia bilamana kumpulan Dewi-Dewi membuat persembahan pertama berbanding lima buah band lain.

Selepas itu, konsert diberhentikan selama 15 minit bagi memberi laluan kepada waktu Asar.

Penonton kembali menyerbu bahagian hadapan pentas apabila hos menjemput band yang berasal dari Jakarta iaitu Samsons ke pentas untuk melakukan persembahan.

Antara lagu yang dinyanyikan adalah Kisah Tak Sempurna. Dalam 4.57 petang, hujan turun renyai-renyai hingga penonton terpaksa mencar tempat berteduh.


Samsons juga pandai menggamit peminat untuk ke pentas dengan lagu hits mereka walaupun hujan turun.

Namun, konsert tetap diteruskan. Lagu berhantu daripada band ini iaitu Kenangan Terindah dan Naluri Lelaki kembali menggamit penonton mendekati pentas.

3 minit kemudian, hujan kembali reda. Pentas beralih kepada persembahan band ketiga, Sheila On 7 (SO7). Band dari Jogjakarta ini memulakan persembahan mereka dengan lagu Pria Terhebat.

Sheila On 7 pandai menghiburkan penonton dengan lagu-lagu terbaru dan popular mereka seperti Dan, Sahabat Sejati, Melompat Lebih Tinggi, Ku Petik Bintang, dan Berhenti Berharap.

Ketika persembahan berlangsung, SO7 juga sempat mempromosikan album keenam mereka yang telah diterbitkan dan single terbaru mereka iaitu ‘Betapa’ baru diputarkan di corong radio.

Kemudian, kumpulan Ungu dari Jakarta kembali menghangatkan pentas. Sebelum memulakan persembahan, vokalis Ungu iaitu Pasha menasihatkan penonton agar tidak bergaduh dan jangan letih kerana penonton perlu menunggu sehingga konsert tersebut selesai iaitu pukul 12 malam. Katanya, “Jangan malukan Indonesia.”

Dalam Pasha seronok menyanyi dan mengalunkan lagu hits daripada album mereka, tiba-tiba zip seluar Pasha terbuka sehingga membuatkan ramai orang ketawa melihat gelagatnya yang pandai berbicara itu.

Pasha mampu menghiburkan penonton kerana mempunyai ‘aura pentas’ atau daya penarik yang bisa membuatkan penonton terus setia menonton persembahan Ungu sehingga selesai.

Dengan lagu-lagu popular mereka seperti Andaiku Tahu, Cinta Dalam Hati, Tercipta Untukku, Kekasih Gelapku, Demi Waktu dan Terbang Melayang.

Persembahan seterusnya oleh band Peter Pan yang menyanyikan lagu berhantu mereka seperti Mungkin Nanti termasuk dua buah lagu baru yang terkandung dalam album terbaru mereka yang bakal dipasarkan nanti.

Selepas persembahan selama 40 minit daripada Peter Pan, Slank kembali mengambil tempat dan semakin menggamatkan suasana. Kumpulan ini sememangnya sengaja diletakkan di penghujung konsert kerana kumpulan yang popular dengan lagu Tak Bisa mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri iaitu Slankers.

Keseluruhannya, konsert kedua ini masih menampakkan cacat celanya iaitu kekecohan, masalah teknikal serta isu penyanyi buka baju. Ternyata, memang sukar untuk melakukan sesuatu perkara yang melibatkan orang ramai.

Penganjur juga dilihat gagal menyediakan kemudahan keselamatan yang terjamin apabila mereka tidak menyediakan sekumpulan pasukan keselamatan seperti Rela atau pihak polis pada awalnya, Namun, apabila kejadian yang tidak diingini berlaku baru tergopoh-gapah nak panggil polis. Itupun masih sukar untuk betul-betul menenteramkan keadaan.

Adakah konsert Pesta Malam Indonesia ini akan terus dilakukan pada masa akan datang?

About Mohd Zaid

Seorang penulis blog yang masih belajar bagaimana untuk menulis blog dengan baik. Saya amat meminati muzik dan gemar bersosial secara berhemah dengan rakan-rakan. Sekiranya anda ingin saya membuat review produk, makanan atau menghadiri sebarang event, sila hantarkan jemputan anda ke email : admin[at]mohdzaid.com atau yedkajang[at]gmail.com