Keratan Kosmo – Tetap kacau-bilau – Konsert Pesta Malam Indonesia 2


KALAU konsert Inul Darasista di Malaysia tempoh hari dibatalkan ‘atas sebab-sebab keselamatan’ bagaimana pula dengan aspek keselamatan pada Konsert Pesta Malam Indonesia 2 di Bukit Kiara, Equestrian Park kelmarin?

Biarpun penganjur konsert tersebut, Fat Boys Records pada sidang media Khamis lepas berjanji untuk mengelakkan berlakunya kekecohan pada konsert tersebut, namun realitinya, aspek keselamatan jugalah yang menimbulkan persoalan pada konsert tersebut.

Ini kerana berlaku kekecohan yang ditimbulkan penonton warga Indonesia sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan penonton tempatan.

Perasaan ketakutan dan kebimbangan mengalami kecederaan sememangnya wujud dalam diri saat menghadiri konsert yang menampilkan band-band terkemuka Indonesia termasuk Samson, Peterpan, Ungu, Sheila On 7 dan Slank ini.

Konsert yang dihadiri oleh majoriti warga Indonesia itu bertukar menjadi medan pergaduhan segelintir penonton Indonesia yang dikatakan ingin melihat kumpulan pujaan mereka dengan lebih dekat.

Pergaduhan pertama tercetus ketika kumpulan Sheila On 7 (SO7) menyanyikan lagu Sahabat Sejati, sehingga persembahan terpaksa diberhentikan untuk seketika.

Kumpulan tersebut yang masih berada di pentas waktu itu cuba menenangkan penonton dan vokalis SO7, Duta pula cuba memujuk penonton yang bergaduh supaya menghentikan pergaduhan.

Selepas pergaduhan itu terlerai, sekali lagi SO7 menghentikan persembahan secara tiba-tiba ketika mendendangkan lagu Melompat Lebih Tinggi kerana pergaduhan kedua tercetus lebih hebat sehingga kelihatan seorang penonton tercedera di dahinya.

Oleh kerana itu, pemain gitar utama kumpulan tersebut, Eros mengambil langkah mendekati penonton untuk mengelakkan pergaduhan tercetus semula.

APAKAH konsert membabitkan artis-artis Indonesia di Malaysia pada masa-masa akan datang akan diberikan permit rentetan kekecohan terbaru ini?

Namun, ia tidak berhenti di situ sahaja, kerana penonton mula bergaduh lagi ketika konsert dihentikan untuk menghormati waktu Maghrib.

Kali ini ia telah menyebabkan pihak keselamatan konsert terpaksa campur tangan dan membuat kawalan yang lebih ketat sepanjang konsert berlangsung.

Keadaan yang mula beransur tenang tiba-tiba bertukar wajah apabila persembahan kumpulan Ungu pada pukul 7.30 malam terpaksa diberhentikan disebabkan masalah teknikal.

Kumpulan tersebut yang sempat mendendangkan sebuah lagu sebelum persembahan dihentikan, cuba menenangkan penonton dengan berada di sekitar pentas.

Mereka juga cuba berbual-bual dengan penonton untuk mengawal keadaan. Terdengar ketika itu penonton warga Indonesia mula menyanyikan lagu kebangsaan serta lagu merdeka negara mereka.

Aleya mangsa kemarahan penonton

Sungguhpun keadaan terkawal, penonton mula menunjukkan perasaan tidak puas hati apabila mereka terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum persembahan disambung semula.

SLANK muncul di kemuncak konsert dengan penuh bertenaga.

Pihak penganjur konsert pula cuba mengawal keadaan dengan mengedarkan botol air plastik, poster, kemeja-T dan kertas keras berbentuk tangan untuk memujuk hati penonton.

Bagaimanapun, penonton telah melempar kembali barangan tersebut ke pentas dan telah menyebabkan pihak media yang berada betul-betul di hadapan pentas terpaksa berlindung daripada dihujani botol-botol dan kertas-kertas keras tersebut.

Walaupun begitu, selain ada di kalangan petugas media yang terkena lemparan daripada penonton, pengacara konsert tersebut, Sharifah Aleya turut menjadi mangsa lemparan kertas-kertas keras tersebut, tetapi dia tetap profesional menjalankan tugasnya untuk menenangkan keadaan.

Selepas masalah teknikal diatasi, konsert diteruskan, dan penonton dilihat terhibur dengan persembahan yang diberikan sungguhpun masih dihantui oleh gangguan teknikal yang tidak berkesudahan.

Sebaik tamat persembahan mereka, anggota-anggota Ungu yang ternyata berang dengan masalah teknikal tersebut, terus beredar ke belakang pentas dan salah seorang pemain gitar kumpulan itu tiba-tiba mencampakkan gitar tersebut tanpa berpaling pada penonton. Mungkin untuk menunjukkan kemarahannya.

Apakah agenda Ariel Peterpan?

Kemudian persembahan diteruskan lagi dengan kumpulan terkenal Peterpan yang membuat persembahan selama 40 minit.

DUA pengacara konsert, Aleya (dua dari kanan) dan A.G (berdiri) bersama anggota kumpulan Ungu cuba menenangkan penonton.


ADA agenda yang tersirat? Ariel Peterpan sebelum (kiri) dan selepas (kanan) bertindak nekad menanggalkan bajunya tanpa memikirkan kontroversi yang bakal timbul.


Mereka mendendangkan lagu-lagu popular serta dua buah lagu yang dipetik dari album terbaru mereka yang bakal muncul tidak lama lagi.

Penonton yang melompat mengikut rentak lagu dikejutkan sekali lagi. Kali ini bukan pergaduhan ataupun adegan lemparan barang tetapi tindakan vokalis Peterpan, Ariel yang secara tiba-tiba membuka bajunya disaat mendendangkan lagu terakhir mereka Mungkin Nanti.

Persoalan timbul, mengapa Ariel melakukan tindakan yang sedemikian kerana ini bukanlah kali pertama Peterpan membuat persembahan di negara ini dan dia seharusnya jelas dengan peraturan serta etika ketika membuat persembahan.

Tanpa perasaan bersalah, Ariel tetap meneruskan lagu tersebut sehingga ke akhir. Apakah tindakannya itu sebagai isyarat bahawa Peterpan tidak akan berkunjung lagi ke Malaysia?

Apa pun sebabnya, hanya Ariel dan anggota Peterpan yang lain sahaja yang tahu.

Kerancakan konsert tidak berhenti di situ sahaja, kerana pastinya penonton menunggu rockers tersohor Indonesia iaitu kumpulan Slank.

Nampaknya, Slank sememangnya bijak mencuri tumpuan apabila mendendangkan barisan lagu popular mereka, dan penonton tanpa segan turut menari mengikut rentak muzik malam itu.

Jumlah penonton tersasar

Sebelum itu pada konsert yang turut disertai oleh kumpulan Dewi-Dewi dan acara pembukaan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein dan Hujan dilihat telah lari daripada sasaran utamanya.

Ini kerana pihak penganjur yang pada mulanya mensasarkan seramai 15,000 penonton bakal membanjiri tapak konsert, tetapi yang hadir lebih kurang hanya 5,000 penonton sahaja dan kebanyakan mereka adalah orang Indonesia sendiri.

Kebanyakan penonton yang setia sehingga ke akhir konsert adalah penonton warga Indonesia sendiri, kerana kebanyakan penonton tempatan pula angkat kaki setelah persembahan Peterpan selesai.

EROS mendekatkan diri dengan penonton demi menenangkan keadaan.

Apa pun konsert ini tetap berlangsung dengan kemeriahan, walaupun terdapat pelbagai gangguan bermula daripada penonton sehinggalah ke pentas utama.

Meskipun konsert tersebut boleh dikatakan amat bernasib baik kerana tidak ada perkara buruk yang terjadi, tetapi masih banyak kecacatan yang harus diperbaiki pihak penganjur.

Selain itu, penonton yang memenuhi barisan hadapan juga tergolong daripada warga Indonesia sahaja, manakala penonton Malaysia lebih selesa berdiri dari jauh atau melihat persembahan menerusi skrin besar yang diletakkan di kiri dan kanan pentas.

About Mohd Zaid

Seorang penulis blog yang masih belajar bagaimana untuk menulis blog dengan baik. Saya amat meminati muzik dan gemar bersosial secara berhemah dengan rakan-rakan. Sekiranya anda ingin saya membuat review produk, makanan atau menghadiri sebarang event, sila hantarkan jemputan anda ke email : admin[at]mohdzaid.com atau yedkajang[at]gmail.com
This entry was posted in Konsert. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *